PENGENALAN


SELAMAT DATANG

Laman Blog SKBP
SK Bukit Perah
21800 Ajil
Hulu Terengganu

Laman ini akan memaparkan Peristiwa Sejarah dan Laporan Kegiatan Semasa sekolah untuk tatapan umum.
Semoga SKBP akan terus dipandang Gemilang sepanjang masa


Monday 8 June 2015

ANUGERAH TOKOH NILAM PERINGKAT KEBANGSAAN 2015 (BAHASA MALAYSIA)

Tahniah !  Adik Nurin Aisya binti Mat Yusof (6 Alfa)  telah mendapat Naib Johan Anugerah Tokoh Nilam Peringkat Kebangsaan 2015 Kategori Bahasa Malaysia. Penyempaian hadiah telah disempurnakan oleh Pengarah Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP), KPM pada 24 April 2015 bertempat di PWTC, Kuala Lumpur. 



Thursday 16 February 2012

SAMBUTAN MAULIDUL RASUL 2012

Kedatangan bulan Rabiul Awal pada setiap tahun lazimnya mengingatkan kita tentang kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Kelahiran ini sesungguhnya telah memberikan makna yang amat besar kepada kelangsungan hidup umat manusia di dunia dan di akhirat. Umat manusia dan alam keseluruhannya telah dihamparkan dengan rahmat dan keberkatan melalui perantaraan Rasulullah SAW.

Firman Allah swt di dalam surah Al-Anbiaa' ayat 107,
"Dan tiadalah Kami mengutuskan Engkau (Wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam".

Sesungguhnya perjalanan hidup Rasulullah SAW dihiasi dengan akhlak yang amat terpuji. Ini bertepatan dengan firman Allah SWT di dalam surah Al-Qalam ayat 4,
"Dan bahawa sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) mempunyai akhlak yang amat mulia."


14.02.2012 SK Bukit Perah Ajil Hulu Terengganu telah mengadakan Perarakan Maulidul Rasul dari SK Bukit Perah ke Masjid Kampung Bukit Perah. Perarakan bermula pada jam 8.30 pagi selepas bacaan Surah Yasin di surau sekolah beramai-ramai. Perarakan tersebut bergerak melalui jalan besar Kuala Berang - Kuala Terengganu, melalui jejambat di hadapan sekolah sebagai jalan pintas. Pelajar dibahagikan kepada 4 kumpulan mengikut rumah-rumah  sukan juga melalui kawasan perumahan Pekan Ajil.


Rasulullah SAW sebagai ikutan kita hendaklah dijadikan contoh teladan yang terbaik dari seluruh kehidupan manusia sama ada dalam hal-hal kekeluargaan, kemasyarakatan dan kenegaraan. Keadaan ini telah dijelaskan di dalam hadis-hadis sahih dari berbagai-bagai riwayat. Begitu juga telah dijelaskan melalui ayat-ayat Al-Quran yang memberikan panduan kehidupan, kesemuanya telah dipraktikkan oleh Baginda Rasulullah SAW di sepanjang hayatnya agar dapat dicontohi pula oleh umatnya yang terkemudian.


Dalam sirah kehidupannya, baginda telah menunjukkan kepada kita akhlaknya yang terpuji sama ada ketika bersama anak kecil mahupun orang dewasa, begitu juga ketika bersama orang berharta mahupun hamba sahaya. Dalam soal hubungan ini baginda tidak pernah membeza-bezakan di antara satu sama lain. Kesemuanya dilayan dengan baik oleh baginda sehingga mereka merasakan tidak ada perbezaan di antara kedudukan orang-orang kaya dengan yang miskin, berpangkat atau sebaliknya.


Rasulullah SAW sebagai pemimpin sebuah negara juga telah menunjukkan kepada umatnya bagaimana untuk menjadi seorang pemimpin yang baik dan disayangi oleh segenap lapisan masyarakat. Salah satu sifat utama Rasulullah SAW yang jarang dimiliki oleh pemimpin-pemimpin lain adalah sifat pemaaf Baginda sekalipun terhadap orang-orang yang memusuhinya. Rasulullah SAW tidak pernah mengambil kesempatan terhadap musuh-musuhnya yang sudah tidak berdaya melawannya. Perkara seperti ini telahpun dibuktikan sendiri oleh Baginda Rasulullah SAW ketika peristiwa pembukaan kota Mekah. Penduduk Quraish Mekah yang menjadi tawanan pada ketika itu telah diberikan pengampunan dan dibebaskan oleh Baginda tanpa sebarang syarat. Kebaikan dan sifat pemaaf yang ditunjukkan oleh Baginda itu akhirnya telah menarik minat mereka untuk memeluk agama Islam.


Sesungguhnya Rasulullah SAW merupakan insan kamil yang paling layak untuk diikuti oleh setiap umat manusia. Di manapun kedudukan kita pada hari ini, sama ada  sebagai pemimpin sebuah keluarga, masyarakat mahupun negara seharusnya menjadikan Rasulullah SAW sebagai satu-satunya qudwah hasanah dalam kehidupan kita. Jaminan kebahagiaan hidup di dunia mahupun di akhirat bukanlah diukur dengan kekayaan dan pangkat sebaliknya ia diukur dengan sejauh mana kita telah mengikuti dan mengamalkan segala sunnah yang dianjurkan oleh Baginda Rasulullah SAW.

"Sesiapa yang mentaati Allah dan Rasul-Nya, Maka mereka akan (ditempatkan di syurga) bersama-sama orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka, iaitu Nabi-nabi, para Siddiqin, para syuhada' (orang yang mati syahid), dan orang yang soleh;. serta mereka itulah teman yang sebaik-baiknya". (An-Nisaa': 69)


Monday 13 February 2012

SKBP BERPINDAH KE BANGUNAN BARU 03.01.2012

SK Bukit Perah, Ajil ,03 Januari, 2012. SKBP telah mula berpindah ke bangunan baru mulai hari ke 2 persekolahan Tahun 2012. Blok pejabat lama telah dikosongkan untuk kegunaan Bilik Guru Tahap 1 dan juga Kelas Pemulihan. Mudah-mudahan dengan adanya bilik yang lebih luas, ianya akan memberikan keselesaan kepada guru-guru di SKBP. 


Blok Pejabat lama

Pelan Bangunan lama SKBP

Bangunan yang dikosongkan untuk dijadikan Dewan SKBP


Blok baru ( Blok A ) telah dibuka dengan mengadakan Majlis Sembahyang Hajat pada malam 03.01.2012. Majlis tersebut telah dihadiri oleh beberapa orang jemaah masjid Bukit Perah dan guru-guru lelaki. Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar.

Blok A Baru SKBP 

Blok A ini digunakan untuk Pejabat Sekolah dan Bilik mesyuarat ( Tingkat 1 ) , Pusat peralatan sukan, Bilik BOSS dan Bilik Peperiksaan ( Tingkat Bawah ) , Makmal Sains ( Tingkat 2 dan Bilik Darjah Tahun 6 Alfa , 6 Beta, 6 Gamma dan 6 Sigma.



Blok B Bangunan Baru SKBP

Blok B bangunan baru SKBP pula digunakan untuk Surau dan jQaf di tingkat bawah, Bilik Guru Tahap 2 dan Bilik Kaunseling di Tingkat 1, Makmal Sains dan Bilik Seni di Tingkat 2 dan Bilik Muzik , Pusat Sumber Sekolah di Tingkat 3.

Wednesday 18 January 2012

 En Abd Majid Salleh, Guru Besar 2011 telah bertukar ke SK Banggol Katong, Kuala Terengganu mulai Disember 2011

En Muhamad Shaidi b Ishak Guru Besar SK Langgar telah mengambil alih tugas Guru Besar SK Bukit Perah mulai Disember 2011

 En. Mohd Azam b Ghazali Guru Penolong Kanan Kokurikulum telah bertukar ke SK Serada mulai 11.01.2012

En Razali b Rahni ( Kanan ) Guru Penolong Kanan Kokurikulum SK Ajil telah mengambil alih tugas Guru Penolong Kanan Kokurikulum SK Bukit Perah mulai 11.01.2012
SELAMAT DATANG
Laman Blog SKBP Versi 2012
Memaparkan Aktiviti dan Peristiwa
SK Bukit Perah
 Komen membina pengunjung sangat dialu-alukan demi untuk memperbaiki kelemahan sekolah serta untuk mempertingkatkan prestasi SKBP terutama dalam bidang akademik , kokurikulum dan pembinaan sahsiah pelajar.